Isnin, 9 Julai 2012

REFLEKSI KECERDASAN EMOSI (MINGGU KETIGA)


Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya masih bernafas di atas muka bumi ini bagi meneruskan kelangsungan hidup ini. Menelusuri pengisian kuliah kecerdasan emosi pada 3 Julai 2012 bersama Puan Norihah bt Bachok telah memberi saya gambaran mengenai apa sebanarnya yang dikatakan sebagai kecerdasan intelek, kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual yang sering diperkatakan di media massa mutakhir ini. Dewasa ini, sering dipaparkan tentang perihal manusia yang berperwatakan seperti binatang yang melibatkan kes pembuangan bayi, bunuh secara kejam dan banyak lagi kes yang tidak tergapai dek akal akan terjadi. Maka, di sinilah kepentingan kecerdasan emosi, intelek dan spiritual untuk diimplementasikan dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini. 


Kes yang melibatkan remaja berpendidikan 


Selama ini, ramai yang menganggap bahawa jika seseorang individu itu memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi, maka individu itu akan memiliki peluang untuk meraih kejayaan yang lebih baik berbanding dengan yang lain. Bagaimanapun, terdapat banyak kes di mana seseorang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang tinggi tersisih daripada orang yang memiliki tingkat kecerdasan intelektual yang lebih rendah. Ini membuktikan bahawa kecerdasan intelektual yang tinggi tidak menjamin seseorang itu akan meraih kejayaan dalam hidupnya.

Apakah yang dimaksudkan dengan kecerdasan emosi (EQ)? Perkataan emosi sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis, émotion, dari émouvoir yang bermaksud ‘kegembiraan’ iaitu dari bahasa Latin emovere. Selain itu, emosi dapat ditakrifkan sebagai suatu perasaan atau jiwa yang kuat @ what do I feel? Dari segi kontekstual, dapatlah disimpulkan bahawa kecerdasan emosi merupakan sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran untuk memantau serta membuat diskriminasi di antara emosi sendiri atau emosi orang lain dan seterusnya memanfaatkan maklumat sebagai panduan pemikiran dan tindakan orang itu.

Kecerdasan intelektual (IQ) adalah kemampuan intelektual, analisa, logik dan rasional @ what do i think? Ia merupakan kecerdasan untuk menerima, menyimpan dan mengolah infomasi menjadi fakta. Orang yang kecerdasan intelektualnya baik, baginya tidak ada informasi yang sulit, semuanya dapat disimpan dan diolah, pada waktu yang tepat. 

Definisi kecerdasan spiritual (SQ) adalah kemampuan potensi setiap manusia yang menjadikan ia dapat menyedari dan menentukan makna, nilai, moral, serta cinta terhadap kekuatan yang lebih besar dan sesama makhluk hidup @ who i am? Sehingga membuat manusia dapat menempatkan diri dan hidup lebih positif dengan penuh kebijaksanaan, kedamaian, dan kebahagiaan yang hakiki. Kecerdasan ini diaggap sebagai kecerdasan tahap tinggi kerana menyentuh aspek kejiwaan manusia yang tidak dapat dilihat secara zahir.

Kesimpulannya, para bakal guru perlulah mempunyai kemahiran untuk mengeksploitasi kelebihan-kelebihan yang terdapat pada setiap dimensi kecerdasan. Oleh sebab kecerdasan emosi,intelek dan spiritual merupakan sifat yang boleh dipupuk dan dikembangkan, bakal guru perlu ada pengetahuan agar dapat membantu meningkatkan kecerdasan emosi, intelek dan spiritual pelajarnya. Institusi pendidikan telah memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat. Melalui sistem pendidikan, para pelajar akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial. Pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan perubahan dalam sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan pelajar sesuai dengan keadaan sekeliling. Kita perlu memikirkan kembali sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan kita pada hari ini memandangkan isu gejala sosial remaja yang makin hari makin menular. Faktor kecerdasan emosi, intelek dan spiritual dilihat sebagai faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang pelajar. Justeru itu, ia akan membawa implikasi terhadap pencapaian akademik mereka yang cemerlang.






2 ulasan: