Isnin, 9 Julai 2012

REFLEKSI KECERDASAN EMOSI (MINGGU KEDUA)

Assalamualaikum W.B.T, salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya masih bernafas di atas muka bumi ini bagi meneruskan kelangsungan hidup ini. Menelusuri pengisian kuliah kecerdasan emosi pada 26 Jun 2012 bersama Puan Norihah bt Bachok yang bertajuk "Apa yang membuat anda puas". Sebagai seorang manusia di muka bumi ini, perasaan puas tidak akan pernah cukup sehinggalah menutup mata untuk kesekian kalinya. Namun,tidak menjadi masalah untuk kita mencari erti kepuasan dalam kita meneruskan kehidupan asalkan perkara yang kita lakukan itu tidak melanggari syariat agama. Dalam pelbagai kepuasan yang kita lalui, pasti akan ada satu kepuasan yang tidak dapat kita lupa atau sering kita lakukan untuk merasa kepuasan. 

Bagi saya, kepuasan yang ingin saya rasai sepanjang hidup saya ialah menghabiskan masa bersama Ibu saya yang tercinta. Ibu yang tidak pernah merasa bosan melayan kerenah anak-anaknya yang pelbagai ragam. Sepanjang bersama ibu, saya rasa masa itulah yang paling seronok walaupun hanya berborak kosong, makan atau berjalan. Detik itu akan menyebabkan saya rasa hilang semua penat lelah dan perkara yang membebankan kepala saya. Saya sendiri pun tidak tahu, mengapa ia terjadi?Namun.itulah realitinya.

Saya masih ingat lagi, apabila Puan Norihah mengatakan adakah saya sudah bersedia untuk kehilangan ibu saya? Jawapannya,tidak dan saya tidak akan bersedia untuk itu kerana saya tidak mampu untuk kehilangan manusia yang paling saya sayang. Walaupun pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang sebelum itu,saya tetap tabah untuk mengharunginya, tapi bukan untuk perkara ini. Saya tidak mampu untuk kehilangan mereka, biarlah mereka yang kehilangan saya.

 
Ayah dan ibu yang menjadi tonggak hidup saya

Terimalah hasil nukilan saya yang sentiasa saya sematkan dalam diri. Nukilan ini tercetus selepas kepergian saya ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pengajian di IPG Kampus Bahasa Melayu.

Teman,
setiap detik kita bersama,
setiap detik kita bersua,
setiap detik kita bermanja,
saat itu aku teringat pesan bonda,
carilah teman tatkala berduka.

Teman,
terlalu indah saat manis dahulu
bila kita cuba mengenal kehidupan,
terlalu manis saat indah dahulu
bila kita cuba mencari pengalaman,
terlalu indah dan manisnya saat dahulu
bila kita cuba untuk melangkah ke hadapan,
saat itu aku teringat pesan bonda,
carilah teman tatkala berduka.

Teman,
orang yang selalu dikenali sebagai kawan,
orang yang selalu dikenali sebagai sahabat,
orang yang selalu dikenali sebagai rakan,
Namun, adakah mereka sentiasa bersama kita?
saat itu aku teringat pesan bonda,
carilah teman tatkala berduka.

1 ulasan: